1. MEMELIHARA AGAMA
Islam
menjamin suasana selesa bagi memupuk keharmonian hidup beragama dalam
sesebuah masyarakat majmuk. Masyarakat majmuk tidak asing bagi Islam.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Wahai manusia, sesungguhnya
Kami jadikan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu
berbangsa-bangsa dan berpuak-puak semoga kamu dapat kenal mengenali
antara satu sama lain:” (Al-Hujurat, ayat 13)
“Dan di antara
tanda-tandaNya ialah kejadian penciptaan langit dan bumi dan
kepelbagaian bahasa dan warna kulit di kalangan kamu, sesungguhnya ia
adalah menjadi bukti bagi mereka yang berilmu” (Al-Rum, ayat 22)
Islam juga mengakui kewujudan pelbagai agama selain daripada Islam seperti yang ternyata di dalam Al-Quran yang bermaksud:
“Dan
jika dikehendaki Tuhanmu, tentu beriman semua manusia yang ada di bumi;
lantaran itu patutkah engkau (Muhammad) hendak paksa manusia sampai
mereka menjadi mu’minin (beriman)” (Surah Yunus, ayat 99)
“Dan
kalau Allah mahu, nescaya Ia jadikan kamu (semua) satu umat, tetapi ia
sesatkan siapa yang ia kehendaki dan Ia pimpin siapa yang Ia kehendaki;
dan kamu akan ditanya darihal sesuatu yang kamu telah kerjakan:” (Surah
al-Nahl, ayat 93)
”Tidak ada paksaan pada agama. Telah nyata kebenaran daripada kesesatan.”
(Surah al-Baqarah ayat 256)
Ayat-ayat
di atas menjelaskan bahawa dalam soal fahaman dan anutan agama
seseorang tidak boleh memaksa seseorang untuk mengikuti fahaman
agamanya. Islam memberi kebebasan untuk memilih agama yang diyakini.
Orang bukan Islam bebas menganut agama yang mereka yakini dan bebas
mengamalkannya. Islam mengiktiraf kemampuan manusia berbanding dengan
makhluk lain untuk menggunakan akalnya dengan memberikan kebebasan untuk
membeza dan memilih mana satu yang benar dan mana satu yang salah.
Islam juga memberi seluas-luasnya ruang kepada kekuatan intelek untuk
melakukan penelitian dengan hujah-hujah ilmiah untuk mencapai kebenaran.
Ini membuktikan Islam memberi peluang kepada masyarakat pelbagai bangsa
dan agama bukan sekadar berinteraksi dalam urusan harian, malah dalam
perbincangan tentang keilmuan serta soal kepercayaan dan akidah.
Islam
menyediakan cara hidup bermasyarakat berbilang kaum dan agama. Prinsip
toleransi beragama, kebebasan beragama, sikap saling hormat menghormati
di antara satu sama lain yang berlainan anutan agama adalah sebahagian
daripada ajaran Islam yang wajib dilaksanakan. Sekiranya semua pihak
yang berlainan agama ini benar-benar memahami agamanya tentu mereka akan
mengamalkan ajaran agamanya dengan sebaik-baiknya. Dalam waktu yang
sama Islam menggalakkan dan sentiasa memberi ruang dan kesempatan untuk
semua pihak yang berbeza agama ini berinteraksi bagi berbincang tentang
fahaman masing-masing yang tidak bertentangan dengan prinsip agama
masing-masing supaya lahir suasana yang harmoni dan saling
hormat-menghormati. Kesimpulannya setiap penganut agama mestilah
memahami dengan sebaik-baiknya ajaran agama yang dianutinya dan beramal
dengannya. Ini jelas menunjukkan betapa Tamadun Islam sesuai diamalkan
di dalam masyarakat majmuk kerana Islam sentiasa menekankan kepentingan
mendalami ilmu agama dan mengamalkannya demi menjamin keharmonian
masyarakat di samping kesucian agama yang akan tetap terpelihara.
Islam
mengakui wujudnya agama lain namun begitu ini tidak bermakna Islam
mengakui kebenaran agama-agama tersebut. Di dalam Islam tidak ada
kompromi dalam soal akidah namun dalam soal-soal lain Islam menggalakkan
umatnya berinteraksi dengan kelompok-kelompok berlainan agama.
2. MEMELIHARA NYAWA
Islam
mewajibkan umatnya menjaga keselamatan dan mengharamkan perkara atau
perbuatan yang boleh membahayakan nyawa. Merokok dan menyalahguna dadah
adalah dilarang kerana ia merosakkan kesihatan dan membahayakan nyawa.
Merokok akan merosakkan paru-paru dan hati perokok serta orang-orang
yang terhidu asap rokok. Paru-paru dan hati yang rosak boleh menyebabkan
kematian. Penyalahgunaan dadah akan merosakkan seluruh sistem saraf dan
boleh menyebabkan kematian. Membunuh tanpa sebab merupakan dosa besar.
Membunuh diri juga merupakan dosa besar dan akan ditimpa azab di akhirat
nanti. Perselisihan, perbalahan atau pergaduhan sangat dilarang kerana
ia akan merosakkan keharmonian dan mungkin menyebabkan pembunuhan dan
kehilangan nyawa. Justeru itu Islam amat menekankan cara hidup yang
harmoni.
Sebagai contoh keharmonian hidup masyarakat majmuk di
Malaysia ialah hasil peranan Islam sebagai unsur terpenting kerana orang
Melayu yang majoritinya beragama Islam, mempunyai kekuatan rohani dan
intelek yang membolehkan mereka membina kemahiran berkomunikasi,
berinteraksi dengan sesiapa sahaja termasuk orang asing. Budaya yang
berlandaskan Islam telah membentuk ciri-ciri kelembutan, mudah
bersahabat, empati dan bertimbangrasa serta bertolak ansur. Ini menjamin
keamanan dan mengelakkan perbalahan dan peperangan. Keharmonian dan
keamanan menjamin nyawa terpelihara.
Islam juga bersifat anjal.
Islam mewajibkan umatnya berusaha untuk mempertahankan nyawa. Sekiranya
sesuatu perkara atau perbuatan itu boleh menyelamatkan nyawa, walau pada
awalnya hukumnya haram ia boleh dilakukan. Contohnya dalam bidang
perubatan, ubat berbentuk cecair yang digunakan untuk merawat penyakit
jantung adalah diambil dari babi yang kita sedia maklum akan hukum
haramnya, namun jika ia dapat menyelamatkan nyawa pesakit ia adalah
dibenarkan. Ia pastinya bersesuaian dan mudah diterima di kalangan
masyarakat majmuk.
3. MEMELIHARA AKAL
Perkara-perkara
yang menyentuh tentang cara serta makanan dan minuman yang baik untuk
kesihatan tubuh badan dan akal fikiran juga diajarkan dalam Islam. Di
dalam Al Quran ada dinyatakan tentang kebaikan pengambilan madu lebah
sebagai ubat yang paling mujarab untuk menjaga kesihatan tubuh badan.
Menjaga kesihatan menjadi kewajipan umat Islam. Adab makan juga
diajarkan di dalam Islam. Contohnya sebelum makan mestilah mencuci
tangan supaya kekotoran pada tangan dapat dibersihkan. Islam juga
mengesyurkan memegang makanan menggunakan tangan kanan kerana tangan
kanan mengandungi kimia yang membantu penghazaman makanan. Makanan yang
mudah hazam menjamin kesihatan tubuh badan seterusnya menyihatkan
fikiran dan akal. Tubuh badan yang sihat akan menjamin akal yang sihat
ke arah membina negara dan menegakkan agama.
Makanan yang dimakan
atau minuman yang diminum hendaklah yang halal yang terhasil dari usaha
yang halal kerana makanan dan minuman ini akan menjadi darah dan daging
serta menjana minda. Makanan atau minuman yang haram akan mengotorkan
jiwa dan merosakkan akal.
”Hendaklah perut itu dipaksa jangan
sampai senang kepada kerakusan, sedikit sahaja makan dan itupun yang
halal sahaja, menjauhi perkara-perkara syubhat dan dilarang untuk
mengikut syahwat sehingga tidak mengenal batas.”
(Al-Syeikh Muhammad Jamaluddin Al-Qasimi Ad-Dimasqi; Intipati Ihya’ Ulumuddin Pengajaran Bagi Orang-orang Mukmin, halaman 1364 )
Islam
juga mengajar adab melakukan pekerjaaan. Islam mengajar umatnya
memulakan langkah dengan kaki kanan kerana pergerakan anggota kanan akan
mengaktifkan otak kiri. Otak kiri yang aktif akan melahirkan insan yang
cerdik serta kuat ingatan dan akalnya. Melakukan perkara yang
merosakkan diri juga adalah dilarang. Contohnya minum arak, ia dilarang
kerana boleh menyebabkan mabuk dan merosakkan akal. Mabuk dan akal yang
rosak ini menjadikan manusia tidak siuman seterusnya menggalakkan mereka
melakukan kemudaratan kepada diri, orang lain serta persekitarannya.
Untuk lebih menjamin kewarasan akal, Islam mewajibkan umatnya menuntut
ilmu demi meningkatkan tahap pemikiran. Umat Islam digalakkan menimba
ilmu sebanyak-banyaknya walau di manapun supaya dengan ilmu yang
dimiliki akal akan terpelihara seterusnya menghindar diri dari melakukan
perkara-perkara yang menyalahi norma masyarakat serta ditegah oleh
agama. Malah mencari ilmu itu merupakan satu ibadat dan jihad di dalam
Islam. Tidak syak lagi ia bersesuaian dengan nilai agama lain dan sesuai
diamalkan oleh semua orang.
4. MEMELIHARA MARUAH & KETURUNAN
Islam
mendidik umatnya untuk sentiasa memelihara maruah dan keturunan. Islam
mengharamkan zina demi mengelakkan keturunan yang tidak menentu
nasabnya. Islam juga mengharamkan zina bagi mengelakkan tersebarnya
penyakit berjangkit yang berkaitan hubungan kelamin secara rambang.
Contohnya di Malaysia kini pasangan Islam yang akan berkahwin diwajibkan
untuk mengikuti kursus perkahwinan dan mulai tahun hadapan iaitu tahun
2009 mereka perlu menjalani ujian HIV (Warta 12, RTM 1, 23 Desember
2008). Ini adalah untuk memastikan bakal-bakal suami isteri mempunyai
ilmu yang secukupnya untuk mengendali sebuah keluarga seterusnya
melahirkan zuriat yang berakhlak mulia, sihat tubuh badan dan akal serta
mampu menegakkan syariat Islam.
Islam telah mengiktiraf
perkahwinan poligami namun ia tidak diwajibkan dan bukan sesuatu yang
digalakkan. Poligami dibenarkan adalah demi memelihara maruah dan
keturunan zuriat yang bakal dilahirkan. Ini berbeza dengan fahaman lain
selain Islam. Contohnya di Barat, poligami tidak dibenarkan tetapi
undang-undang membenarkan lelaki dan perempuan hidup bersekedudukan.
Akibatnya lahirlah anak-anak luar nikah yang tidak tentu keturunannya
serta merebaknya penyakit berjangkit seperti AIDS atau penyakit kelamin
yang lain. Seterusnya terbentuklah masyarakat yang rosak akhlaknya dan
tidak mendapat pendidikan yang sempurna. Justeru itu tidak syak lagi
prinsip Tamadun Islam sesuai diamalkan di dalam masyarakat majmuk.
Masyarakat bukan Islam boleh juga melaksanakan peraturan seperti
masyarakai Islam negara ini yang mewajibkan pasangan yang bakal
berkahwin mengikuti kursus perkahwinan dan menjalani ujian HIV. Ini akan
memelihara maruah dan keturunan mereka.
5. MEMELIHARA HARTA
Setiap
individu berhak mencari rezeki masing-masing serta berusaha untuk
mendapat, mengumpul dan menggunakan harta benda mereka secara bebas
mengikut kemampuan masing-masing selagi tidak melanggar norma masyarakat
dan agama. Harta atau kekayaan yang diperoleh dari usaha sendiri dengan
cara yang halal berhak dipelihara dan dipertahankan. Tiada sesiapa
berhak mengambil tanpa izin pemiliknya. Mereka yang memelihara hartanya
akan diberi pahala oleh Allah S.W.T.
Di Malaysia yang agama
rasminya ialah agama Islam, sistem ekonomi alternatif yang serasi dengan
nilai Islam diperkenalkan. Prinsip dan amalan nilai Islam juga
diterapkan dalam pentadbiran. Usaha membanteras rasuah juga dijalankan.
Program membasmi kemiskinan, mewujudkan keadilan sosial, meningkatkan
produktiviti, mewujudkan masyarakat berintegriti, pengukuhan institusi
keluarga, penekanan kepada pendidikan dan pencapaian ilmu pengetahuan
serta sains dan teknologi. Semua ini adalah usaha ke arah menjamin
pemeliharaan harta benda.
Hadis Rasulullah yang bermaksud:
”Abdullah
bin Omar berkata, saya telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, Siapa
yang terbunuh kerana mempertahankan hartanya, maka ia mati syahid.”
(Diriwayatkan oleh Bukhari )
Berdasarkan maksud masyarakat majmuk
yang telah dinyatakan di awal perbincangan tadi iaitu masyarakat majmuk
ialah masyarakat yang mengandungi beberapa kumpulan etnik yang hidup
berdampingan dan tinggal bercampur gaul, tinggal dalam satu unit politik
yang sama tetapi hidup cara berasingan dan tidak bersatu padu dan
mempunyai budaya yang tersendiri, tentunya ia memerlukan gabungan nilai
yang dapat diterima oleh semua pihak bagi menjamin keharmonian dan
membentuk masyarakat yang bersatupadu. Keharmonian dan masyarakat yang
bersatupadu, sentiasa bekerjasama serta saling memahami antara satu sama
lain akan menjamin perkembangan intelektual, politik, kerohanian,
sahsiah dan ekonomi sesebuah negara dan masyarakatnya. Justeru itu
Tamadun Islam yang berdasarkan lima prinsip utama iaitu memelihara
agama, memelihara nyawa, memelihara akal, memelihara maruah dan
keturunan serta memelihara harta yang kesemuanya berasaskan Al-Quran dan
Al-Sunnah di mana dasar utamanya ialah untuk memelihara dan memulihkan
serta menghormati hak asasi manusia, adalah sangat sesuai diamalkan di
dalam masyarakat majmuk. Kesimpulannya Islam mengandungi gabungan
nilai-nilai yang merupakan cara hidup dan bersifat universal sesuai
diamalkan oleh semua orang.
No comments:
Post a Comment