ZAMAN RASULULLAH S.A.W
Zaman ini merupakan zaman penanaman benih tamadun Islam di mana buah dan hasilnya dapat dinikmati oleh umat Islam terkemudian. Rasulullah s.a.w telah diutuskan oleh Allah untuk membawa manusia ke jalan yang benar, yang dapat menjamin kebahagian hidup manusia di dunia dan akhirat. Tamadun yang dibina adalah berasaskan wahyu yang diturunkan oleh Allah s.w.t kepadanya selama 23 tahun yang dapat dibahagikan kepada dua zaman iaitu Zaman Makki (Mekah) selama 13 tahun dan Zaman Madani (Madinah) selama 10 tahun. Sesungguhnya kedua-dua zaman inilah yang merupakan detik awalan dan penentuan kepada kegemilangan dan kecemerlangan tamadun Islam.
ZAMAN MAKKI
Menurut Syed Qutb, persoalan utama yang dibawa oleh Rasulullah di Mekah ialah persoalan akidah. Persoalan ini memang tidak mudah diterapkan kedalam hati orang-orang Arab,namun ia tetap dititikberatkan oleh Rasulullah s.a.w walaupun baginda sedar akan dugaan dan cubaan yang bakal dihadapi kelak.
Menurut beliau lagi,persoalan akidah merupakan agenda al-Quran yang sebenar, meskipun pada masa orang-orang Arab menghadapi Empayar Rom dan Parsi tetapi Rasulullah tidak menyeru mereka kearah perjuangan nasionalisma Arab, kerana perjuangan nasionalisme hanya menukar dari perhambaan kepada Rom dan Parsi menjadi pengabdian kepada bangsa Arab.
Walaupun bangsa Arab ketika itu menghadapi kebejatan sosial yang gawat, namun Rasulullah tidak menjadikan perjuangan untuk meningkatkan moral sebagai tujuan utamanya, sebab moral yang baik tidak dapat ditegakkan melainkan diatas akidah yang murni lagi kukuh.
Berkait rapat dengan persoalan akidah ini ialah ajaran Islam tentang adanya Hari Akhirat (Qiamat). Bagi sebahagian masyarakat ketika itu, yang ada hanya kehidupan dunia sahaja, dengan matinya manusia bermakna tamatlah segala-galanya.Penolakan ini adalah disebabkan oleh ketakutan mereka tentang adanya Hari Akhirat yang kelak akan menghitung segala perlakuan mereka di dunia.
Dari segi sosial pula, masyarakat Arab mengamalkan sistem kasta di samping merendahkan darjat kaum wanita. Kelas tertinggi adalah terdiri dari golongan aristokrat Quraisy sahaja, dengan keistimewaan dan kuasa yang tidak terbatas. Sedangkan kaum hamba abdi bukan sahaja dinafikan haknya bahkan mereka boleh dijual beli sesuka hati. Namun, berkat ajaran Islam, semua golongan proletar itu dibanteras oleh Nabi Muhamad saw dengan dibantu oleh sahabat-sahabat baginda yang terdiri dari hartawan-hartawan Islam. Mereka menyatakan bahawa tindakan membebaskan hamba abdi adalah sebaik-baik kebajikan.
Selain dari itu, ajaran-ajaran di Mekah juga menekankan kisah-kisah perjuangan nabi-nabi terdahulu untuk menjadi teladan bagi umat-umat selepasnya. Dalam hal ini Allah menjelaskan dalam al-Quran :
“ Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka terdapat pengajaran bagi orang-orang yang berakal. ” (Surah Yusuf : 111)
“ Maka ceritakanlah kepada mereka kisah-kisah itu agar mereka berfikir.”
(Surah Al-A’raf : 176)
Ini menunjukkan betapa pentingnya mengkaji dan memahami sejarah dalam Islam dan terbukti jelas bahawa sepertiga daripada kandungan al-Quran adalah membicarakan tentang sejarah.
Walaupun persoalan moral bukanlah matlamat utama perjuangan Rasulullah di Mekah, tetapi perkara itu tidak diabaikan sama sekali. Ini sesuai dengan sabda Baginda Rasulullah yang bermaksud :
“ Tidaklah aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. ”
Maka kegiatan dakwah Nabi s.a.w banyak menekankan usaha-usaha pembentukan peribadi Muslim, meninggalkan segala sifat mazmumah yang tercela dan digantikan dengan akhlak mahmudah. Usaha-usaha pembentukan peribadi ini penting sebagai persediaan bagi menghadapi segala cabaran yang bakal mendatang.
ZAMAN MADANI
Zaman ini sinonim dengan peristiwa Hijrah. Pengertian Hijrah dari segi bahasa ialah: Pindah dari satu tempat ketempat yang lain. Dari segi istilahnya yang digunapakai oleh Prof. Syed Naquib al-Atas : Meninggalkan adat resam atau kebiasaan yang karut dan mungkar.
Peristiwa Hijrah ini amat penting dalam tamadun Islam, sehingga Saidina Umar al-Khattab meletakkannya sebagai tarikh permulaan takwim (kalender) Islam. Ini berbeza dengan amalan agama lain yang biasanya memulakan tarikhnya berdasarkan tarikh kelahiran penganjur berkenaan, yakni semacam pendewaan kepada peribadi berkenaan. Tetapi Umar Al-Khattab tidak berbuat demikian kerana ia bukan merupakan tarikh peribadi, tetapi tarikh perjuangan kearah kebenaran (haq) untuk menjadi petunjuk seluruh umat manusia.
Dari segi perjuangan Islam, peristiwa Hijrah memang memberi kesan yang amat mendalam kepada umat Islam kerana walaupun Rasulullah merupakan seorang Rasul yang Agung, tetapi peristiwa Hijrah memaparkan kepada kita bahawa Rasulullah juga menghadapi kesukaran, dugaan dan cabaran yang tidak kurang hebatnya, walaupun hakikatnya baginda layak memohon pada Allah agar dimudahkan segalanya. Ini memberi petunjuk bahawa dalam menghadapi dakwah menegakkan agama Allah dimuka bumi, bukanlah suatu perkara yang mudah. Dalam liku-liku perjalanan Rasulullah dalam
usaha dakwahnya, Rasulullah menghadapi berbagai kesulitan, namun demi untuk menentang segala kebatilan dan kekufuran, segalanya dihadapi.
Sebenarnya kepentingan Hijrah itu menjadi semakin penting setelah kita melihat implikasi peristiwa Hijrah. Apabila Hijrah berlaku, maka terbentuklah suatu Ummah atau Jamaah baik dalam bentuk masyarakat atau negara yang berbentuk masyarakat yang mempunyai keperibadian sendiri. Jemaah ini beasaskan akidah dengan kepatuhan yang mutlak kepada Allah s.w.t yang mana perkataan Madinah itu sendiri berasal dari perkataan Deen iaitu sebuah kota/bandar di mana sesuatu ummah tertakluk kepada suatu penguasa atau pemerintah yang adil dan benar serta dapat menyelamatkan umat Islam didunia dan akhirat.
Dengan timbulnya suatu umat di Madinah maka terdirilah sebuah negara dengan sistem pemerintahan yang berteraskan Islam. Sebuah negara Islam di mana syiar Islam benar-benar mempunyai kekuatan hukum di dalamnya, bukan negara berfaham kedaerahan terbatas yang menyempitkan dirinya dengan fahaman kaum keturunan, atau warna kulit.
No comments:
Post a Comment